Dua anggota PGA ditembak bertugas sebagai peninjau, kumpul risikan – Abdul Hamid

0
2

Nurul Huda Abhar

DUA anggota polis unit Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam kejadian serangan tembak menembak awal pagi tadi bersenjatakan pistol kerana kedua-duanya bertanggungjawab sebagai anggota peninjau untuk unit tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua anggota terbabit bertugas untuk mengumpul risikan, dan bukan menjalankan rondaan yang mana mempunyai kelengkapan senjata perang seperti ‘riffle’.

“Ketika berlaku tembak menembak Koperal Baharuddin telah tercedera dan rebah. Beliau sempat mengarahkan Koperal Norihan segera balik meminta bantuan. Dalam masa sama senjata Koperal Baharuddin kehabisan peluru.

“Kemudian Koperal Norihan berlari ke arah motosikalnya, berjaya balik ke pos mereka TS 9 meminta bantuan. Beliau hanya sempat memberitahu berlaku tembak menembak dan terus rebah,” katanya ketika sidang media khas, sebentar tadi.

Menurut Abdul Hamid, anggota yang berada di pos berkenaan segera menghantar Koperal T Norihan bagi mendapatkan rawatan dan mendapati anggota tersebut tercedera dengan tiga das tembakan iaitu dua di perut manakala satu lagi di tulang rusuk.

Beliau berkata, seorang pegawai dan sekumpulan anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui Koperal Baharuddin Ramli, 54 terbaring dan pistolnya berada di bahagian bahu yang telah kehabisan peluru.

“Pihak ambulan tiba dalam jam empat dan mereka mengesahkan Koperal Baharuddin telah menghembuskan nafas di tempat kejadian. Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kecederaan di bahagian perut.

“Jenazahnya telah dibawa ke hospital untuk dilakukan bedah siasat. Saya mewakili PDRM berasa amat sedih dengan apa yang berlaku pada Koperal Baharuddin ini tetapi dalam masa yang sama bangga dengan semangat keberanian yang ditunjukkan oleh kedua-dua anggota ini,” katanya.

Abdul Hamid menambah, menerusi siasatan awal terhadap seorang lelaki yang ditangkap mengaku bahawa dirinya turut sama berada dalam kumpulan yang terlibat semasa kejadian tembakan berlaku.

Katanya, suspek itu juga menyatakan mereka terkejut apabila terserempak dengan dua anggota PGA terbabit semasa memindahkan guni berisi daun ketum dan ubat batuk ke negara Thailand.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa berlaku rundingan bersama penyeludup seperti yang diwar-warkan sesetengah pihak dalam insiden tersebut.

“Batalion 3 dikenali sebagai begitu beramanah apabila menjalankan tugas di sempadan dan mereka digeruni oleh penduduk di sana oleh kerana ketegasan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan polis telah menahan enam daripada 13 individu yang disyaki dalang serangan bersenjata terhadap dua anggota PGA awal pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata dua daripada suspek ditahan pasukan keselamatan Malaysia, manakala empat lagi ditahan pihak berkuasa Thailand.

Menurut beliau, seorang ditahan berhampiran lokasi kejadian oleh anggota Komando 69 manakala seorang lagi ditahan oleh anggota Batalion 3 PGA.

Katanya, usaha memburu baki tujuh lagi anggota kumpulan penyerang itu sedang dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala Koperal T Norihan, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here