PERJALANAN persidangan Dewan Rakyat akan dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijadualkan esok, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, ia bagi mendapatkan pandangan KKM susulan pelbagai permintaan dikemukakan Ahli Parlimen pembangkang.
“Kita ada bincangkan perkara ini (perjalanan persidangan Dewan Rakyat) dalam mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan serta presiden dan Ketua Whip semua parti pada jam 12.30 tengah hari tadi.
“Kita putuskan untuk mendapatkan nasihat KKM. Insya-Allah kita akan bermesyuarat dengan KKM pagi esok,” katanya seperti dilapor BH.
Pada persidangan hari ini, Azhar menyatakan kekecewaannya dengan sikap Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan peraturan perbahasan menteri selama 20 minit dan hanya 80 wakil rakyat dibenar berada dalam Dewan.
Tegasnya, perkara itu sudah dipersetujui semua Ketua Whip parti dalam pertemuan sebelum ini dan tidak seharusnya menjadi isu atau dibangkitkan semula.
Isu itu dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sejurus tamat sesi soal jawab lisan pada jam 11 pagi dan Azhar mengumumkan sesi penggulungan perbahasan akan berlangsung mulai hari ini hingga Khamis.
Anwar antara lain memohon kelonggaran bagi membolehkan menteri menjawab dengan lebih panjang dan membenarkan lebih ramai Ahli Parlimen berada dalam Dewan. -Malaysiapost

