Fitri Nizam
PEMUDA PAS melahirkan rasa kesal terhadap laporan berita yang disampaikan sebuah stesen berita yang tidak sensitif terhadap isu penindasan Israel terhadap Palestin.
Malah, Pemuda PAS turut mengibaratkan tindakan itu sebagai ‘menyambung lidah Israel’.
Ketuanya, Ir Khairil Nizam, berkata laporan berita itu secara jelas menamakan pejuang pembebasan Palestin sebagai militan selaras dengan nada dan perkataan yang digunakan oleh agensi berita Israel serta sekutunya.
Beliau berkata, dalam berita tersebut juga memuatkan kenyatan pihak tentera Israel yang mendakwa serangan itu dilancarkan oleh Hamas.
Justeru, Pemuda PAS mendesak supaya pihak stesen berita terbabit menarik semula laporan berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam.
“Mereka sepatutnya lebih berhati-hati dalam menyampaikan pemberitaan antarabangsa.
“Sebarang agenda propaganda jahat harus dielakkan daripada disebarkan dan dalam masa yang sama perlu membawa naratif yang tepat selaras dengan pembawaan kerajaan Malaysia sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini Israel terus menindas rakyat Palestin selepas berpuluh tahun proses penjajahan yang tidak pernah berhenti.
“Bayangkan, pelbagai serangan dan kezaliman yang dibuat oleh Israel, namun ketika rakyat Palestin mempertahankan diri mereka, mereka pula digelar pengganas.
“Kami percaya Israel dan sekutunya sentiasa menyebarkan propaganda keburukan gerakan pembebasan palestin dengan pelbagai gelaran dan literasi media.
“Amat tidak cermatlah agensi berita tempatan sekiranya terikut dengan rentak jahat zionis Israel,” katanya. -Malaysiapost

