Guan Eng akan beri keterangan kes saman Raja Petra

0
1

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Februari tahun depan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang akan diperoleh beliau dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin.

Saman itu difailkan Guan Eng berhubung penerbitan artikel membabitkan dakwaan rasuah terhadapnya dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng berkata, prosiding taksiran ganti rugi itu akan didengar di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail.

“Tarikh pendengaran baharu ditetapkan hari ini ketika prosiding melalui e-review oleh Timbalan Pendaftar Dalwinder Singh dan Lim akan memberi keterangan sebagai saksi pada tarikh itu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada 28 Februari lalu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September tahun lalu berhubung satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra antara 24 Februari hingga 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur berkenaan.

Guan Eng menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi kesemua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan akhbar dan satu perintah injunksi untuk menghalang blogger itu daripada mengulangi dakwaannya.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui tiga akhbar pada 10 Februari lalu.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun gagal. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here