Anwar minta lebih ramai Ahli Parlimen masuk ketika Menteri berbahas

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi kelonggaran dengan memberi lebih ramai Ahli Parlimen masuk ketika perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri bermula hari ini.

Anwar (PH-Port Dickson) berkata, ini bagi memastikan Ahli Parlimen yang berbahas mengenai sesuatu isu sebelum ini dapat mendengar sendiri jawapan yang akan diberikan oleh Menteri.

“Jumlah ketika ini hanyalah 80 Ahli Parlimen yang dibenarkan, kita minta kelonggaran dibenarkan lebih lagi bagi memastikan mereka dapat mendengar sendiri jawapan yang diberikan,” kata Ketua Pembangkang itu di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azhar berkata, beliau akan memikirkan perkara berkenaan dan akan berbincang dengan semua ketua whip.

Katanya, beliau akan meminta ketua whip memastikan Ahli Parlimen yang berkaitan dengan sesuatu isu dibenarkan masuk ketika penggulungan itu nanti.

“Kita akan meminta Ahli Parlimen yang sebelum ini bertanya ketika berbahas sahaja untuk masuk dalam kalangan 80 orang ketika Menteri berbahas,” katanya.

Bagaimanapun pandangan Azhar itu tidak dipersetujui oleh beberapa Ahli Parlimen seperti Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Mereka bukan sahaja meminta lebih ramai Ahli Parlimen masuk, malah meminta masa Menteri berbahas dipanjangkan lebih lama. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here