
Nilam Oshman
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu Covid-19 hari ini membabitkan Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Pengkalan Barat melibatkan daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak.
Beliau berkata, sebanyak 19 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.
Katanya, Kluster Bakti pula melibatkan sebuah penjara dalam daerah Seremban di Negeri Sembilan di mana 16 kes telah dikesan positif Covid-19 setakat ini.
“Kluster Bayam Indah melibatkan daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah di mana 10 kes dikesan positif Covid -19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Kasih, Baiduri, Long dan Bestari, menjadikan keseluruhan kluster tamat adalah 163.
Beliau berkata, Sehingga kini, terdapat 330 kluster telah dilaporkan, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 167.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (504 kes), Tembok (42 kes), dan Kaya (20 kes),” katanya. Malaysiapost
