Fitri Nizam
KLUSTER Mengetil di Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak dengan merekodkan 41 kes dalam masa lima hari hingga menjejaskan beberapa daerah di negeri itu.
Malah, kluster sama turut menular hingga ke daerah Besut, Terengganu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, kluster terbabit menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan terdapat risiko penularan yang tidak terkawal sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilaksanakan.
“Pada 3 November, Kelantan hanya mencatatkan sebanyak lapan kes Covid-19 yang melibatkan hanya tiga daerah sahaja.
“Bagaimanapun, pada 19 November, bilangan kes aktif Covid-19 di Kelantan telah meningkat kepada 73 kes dan telah menular ke lapan daripada 10 daerah.
“Selain itu, terdapat tujuh kluster yang aktif iaitu Kluster Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di negeri Kelantan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Dr Noor Hisham berkata, pelaksanaan PKPB adalah bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dengan mengurangkan pergerakan masyarakat antara negeri dan daerah, serta membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam seperti saringan secara bersasar dan lain-lain.
Katanya, sebelum KKM mengesyorkan sesuatu kawasan dilaksanakan PKPB, penilaian risiko dilakukan dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Antara faktor yang diambil kira adalah kadar peningkatan kes, taburan kes positif, kepadatan penduduk, kewujudan tempat tumpuan awam dan keadaan sosiodemografi penduduk.
“Penilaian risiko juga telah dijalankan di negeri-negeri lain untuk menentukan sama ada PKPB boleh ditamatkan atau perlu diteruskan.
“Walaupun PKBB telah ditamatkan di beberapa negeri, terdapat keperluan pelanjutan tempoh PKPB di sesetengah daerah kerana penilaian risiko menunjukkan risiko jangkitan yang masih tinggi di daerah tersebut,” katanya. – Malaysiapost

