BEKAS personaliti televisyen, Senator Ras Adiba Radzi disebut-sebut akan dilantik sebagai Pengerusi Bernama yang baharu.
Berdasarkan sumber dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Ras Adiba akan memikul tanggungjawab berkenaan minggu depan.
“Beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun,” kata sumber itu seperti dilapor FMT.
Menurut sumber itu lagi, Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator Mei lalu, diamanahkan untuk menjadikan Bernama agensi berita nasional yang lebih dinamis dan berwibawa serta mampu bersaing dengan media lain di persada media sosial.
Antara misi beliau ialah mempersiapkan Bernama untuk memberi liputan komprehensif Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tahun depan.
Bekas personaliti TV3 itu yang sebelum ini menempa nama sebagai wartawan sukan, pengacara dan penyampai berita, akan menggantikan Suhaimi Sulaiman iaitu seorang lagi bekas personaliti TV3 dan Awani.
Suhaimi menerajui Bernama beberapa bulan sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Sarawak Oktober lalu. – Malaysiapost

