Bubblebee henti kerjasama dengan individu pernah ditahan reman

0
2

PRODUK minuman kesihatan, Bubblebee menutup empat premis cawangannya iaitu di Ampang dan Sungai Buloh di Selangor, Senawang di Negeri Sembilan serta Sentul di Kuala Lumpur.

Antara lain, keputusan tersebut diambil kerana ingin mengelak menjalin kerjasama dengan individu yang pernah ditahan reman.

Pengarah Urusan Bubblebee, Datuk Ismail berkata, Bubblebee Sdn Bhd sudah mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dan 12 daripadanya merupakan milik penuh Bubblebee manakala selebihnya dibuka secara usaha sama.

“Salah satu usahasama tersebut melibatkan usahawan vape terkemuka Mohamad Hafizzi iaitu pengasas House of Vape bersama pasangannya Nikruasma Nik Ruzi atau lebih dikenali di Instagram sebagai @babyanamoi serta Azman Arshad dari Taikun Vape.

“Ketiga-tiga individu ini bersama pengarah-pengarah kami telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan satu siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini,

“Berdasarkan penjelasan mereka, kesemua mereka tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Mengikut maklumat yang diterima, siasatan lanjut oleh pihak berkuasa ke atas suspek yang disyaki juga sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, pihaknya memohon maaf kepada mereka susulan keputusan untuk menamatkan perjanjian usahasama bagi empat cawangan tersebut.

Jelas Ismail, syarikat juga memohon kepada semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang spekulasi terhadap mereka.

“Bagi mengakhiri kemelut ini, kami telah mencapai penyelesaian baik bersama dengan Hafizzi beserta Nikruasma dan Azman untuk menamatkan usahasama bagi keempat-empat cawangan Bubblebee tersebut.

“Penamatan bersama berdasarkan persetujuan baik ini berkuatkuasa serta-merta. Kesemu cawangan di atas juga telah ditutup sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Bagi pihak syarikat, beliau memohon maaf khasnya kepada Hafizzi, Nikruasma dan Azman, selain pelanggan yang terkesan akibat penutupan sementara keempat-empat cawangan tersebut,” ujarnya.

Katanya, penutupan cawangan itu terpaksa dilakukan bagi kebaikan semua pihak dan mengekalkan kemandirian jenama Bubblebee untuk jangka masa panjang.

“Perlu saya tekankan, bahawa kelangsungan ini lebih penting berbanding mana-mana individu dalam syarikat mahupun rakan usahasama dalam memenuhi kehendak pelanggan.

“Keputusan penyelesaian baik bersama ini juga diambil oleh mereka untuk menumpu sepenuh perhatian kepada perniagaan teras mereka. Selamat berjaya saya ucapkan.

“Jika ada rezeki pasti ada peluang kerjasama lain pada masa akan datang bersama mereka,” ujar Ismail.

Tambahnya, pembukaan semula keempat-empat cawangan ini akan bermula pada 23 November ini selepas proses pengambilalihan selesai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here