Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN Terengganu memohon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu ditamatkan lebih awal.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar, berkata langkah pencegahan yang dilaksanakan bermula 9 November itu sangat memberi kesan kepada seluruh rakyat.
“Bagi memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.
“Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan Covid-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di negeri ini dapat ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Samsuri berkata, hari ini beliau sekali lagi saya mengutarakan kedudukan terkini Covid-19 di Terengganu dan alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal dari jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada rakan-rakan dari pimpinan Umno Terengganu yang bertemu dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyuarakan perkara yang sama.
“Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama. Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah,” katanya. -Malaysiapost

