Muhammad Mustakim Ramli
[PARLIMEN] PENGASAS Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan kerajaan menarik peruntukan di kawasan pembangkang ketika situasi negara berdepan Covid-19.
Syed Saddiq (Bebas-Muar) berkata, sebelum ini tidak timbul isu berkenaan, di mana ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, negeri pembangkang waktu itu seperti Kelantan dan Terengganu turut menerima peruntukan.
“Sebelum ini ketika membentuk kerajaan, Kelantan dan Terengganu ditadbir PAS RM400 juta diperuntukan secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
“Di Terenggganu, RM1.3 bilion diperuntukkan walaupun sebahagian besar ia diperuntukan di kawasan PAS tetapi ia tidak bantah kerana hak mereka yang dipilih rakyat.
“Persoalannya, jika sebelum ini boleh dipratikkan kenapa di kawasan pembangkang rakyat terus kekal sengsara apabila hak mereka ditarik semula,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Syed Saddiq juga turut memberi contoh iaitu ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Hal Ekonomi di bawah Kerajaan PH, kawasan pembangkang turut menerima peruntukkan khas.
“Sebelum ini Menteri ekonomi memberi peruntukan khas bagi kawasan pembangkang khususnya yang rapat dengan pimpinan beliau seperti Sembrong, Kuala Kangsar dapat peruntukan khas oleh Azmin Ali.
“Persoalanya jika sebelum ini boleh ia tidak salah untuk pembangkang dapat peruntukan pembangunan kenapa hari ini peruntukan RM3.8 juta sepatutnya diperuntukan kepada pembangkang ditarik semula.
“Mana keadilan jika sebelum ini kita pertahankan bermati-matian tetapi kini hanya kerana rakyat mengundi ahli parlimen pembangkang mereka tidak mendapat bantuan khususnya pada musim Covid-19,” katanya.
Beliau selain itu turut memberi contoh ketika menerajui Kementerian Belia Sukan (KBS), penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) juga diberikan kepada Kelantan dengan peruntukan RM250 juta.
Katanya, ketika ini banyak Ketua Menteri, Menteri Besar dari PH membantah, namun ia tetap diberikan kepada Kelantan kerana bantuan kerajaan perlu merentasi perbezaan politik.
Syed Saddiq berharap kerajaan perlu tegas dan berani memulangkan semula peruntukan Ahli Parlimen pembangkang kerana ketika musim pandemik ia akan membantu rakyat. -Malaysiapost

