Fitri Nizam
KERAJAAN mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon B, C, Taman Meru 2C Ipoh, Perak dan Kampung Nahaba serta Kampung Tegudon, Kota Belud, Sabah bermula 20 November ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata sidang khas mendengar pembentangan daripada Kerajaan Negeri Perak mengenai situasi peningkatan kes positif Covid-19 di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh.
Katanya, sehingga 16 November sebanyak 938 saringan telah dilaksanakan dan 76 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember.
“PKPD ini akan melibatkan 2,288 penduduk dan 572 buah rumah di kedua-dua lokaliti ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, dua lagi kampung di Kota Belud, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon bermula 20 November sehingga 3 Disember.
“Sehingga semalam sebanyak 36 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti.
“Pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan sebanyak 1,740 penduduk di kedua-dua lokaliti ini,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memastikan pengesanan kes aktif dapat dilakukan dengan berkesan dan menyeluruh oleh pihak KKM.
Katanya lagi, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Sabah adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan kedai runcit di dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 6 petang.
“Seorang wakil dari setiap rumah turut dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dan membeli keperluan asas.
“Pasar juga dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD sebanyak dua kali seminggu dari jam 6 pagi sehingga 2 petang,” katanya. -Malaysiapost

