KWSP: Jangan sampai skim i-Sinar jadi ‘skim i-Die’ – Najib

0
1

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh ‘terlalu bersyarat’ terhadap tawaran skim pendahuluan i-Sinar untuk memastikan lebih ramai pencarum layak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim ‘i-Die’ bagi golongan yang tidak layak.

“KWSP tidak boleh terlalu bersyarat sebab kita tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim i-Die bagi golongan yang tidak layak hanya sebab mereka tidak hilang kerja walaupun sudah amat terdesak setelah pendapatan mereka turun akibat Covid-19.

“KWSP perlu faham bahawa kita tidak boleh sasar kepada mereka yang hilang kerja sahaja (unemployed).

“Ini kerana golongan paling besar ialah mereka yang pendapatan bulanan mereka berkurang akibat gaji dipotong, elaun dipotong, service points/komisyen berkurang serta jumlah hari bekerja atau kerja lebih masa dipotong (underemployed),” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, syarat kelayakan untuk skim itu hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau sudah tiada sumber pendapatan.

“Sebab itu KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli sahaja akan menerima manfaat dari skim i-Sinar dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM14 bilion.

“Ini berbeza dengan anggaran saya di mana 4.7 juta ahli akan mengeluarkan jumlah sehingga maksima RM47 bilion. (Namun bukan semua ahli akan mengeluarkan RM10,000),” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ramai tidak boleh hidup dengan bergantung kepada gaji pokok sahaja.

“Dengan ini, saya minta KWSP memperluaskan skim i-Sinar kepada golongan yang pendapatannya telah turun mendadak akibat Covid.

“Termasuk dengan membuka skim i-Sinar kepada sesiapa yang mengaku pendapatan bulanan mereka telah turun 20 peratus atau lebih akibat Covid-19.

“Pendapatan bulanan mereka turun tetapi komitmen dan tanggungan bulanan mereka tetap tinggi. Golongan underemployed ini perlu diambil kira juga. Jangan dicicirkan,” katanya.

Beliau berkata, biarkan lebih banyak dana mengalir ke dalam kitaran wang ekonomi tempatan kerana Belanjawan 2021 hanya 2.5 peratus lebih tinggi berbanding Belanjawan 2019, tanpa krisis Covid-19.

“Jangan sampai ramai yang sengaja berhenti kerja atau sengaja dibuang kerja sebab mereka mahu layak untuk memohon skim i-Sinar.

“Bagi mereka yang tiada KWSP, kita masih memohon kerajaan untuk memberi lanjutan moratorium pinjaman secara automatik dan secara pukal sehingga 30 Jun 2021,” katanya.

“Lanjutan moratorium ini adalah antara dua syarat Barisan Nasional untuk menyokong bajet 2021,” katanya.

Semalam, KWSP mengumumkan pencarum terjejas disebabkan kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan boleh memohon pendahuluan hingga RM60,000 daripada Akaun 1.

KWSP berkata, pihaknya mengambil langkah memperluaskan skop i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here