BERMULA Oktober 2021 semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada lagi lesen baharu minuman beralkohol yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.
Katanya, lesen pembaharuan hanya dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja.
“Jenis LMK dan premis yang dibenarkan adalah secara borong, gudang, stor, rumah kedai dan kompleks perdagangan.
“Selain itu, rumah awam kelas 1, rumah kedai, hotel, kompleks perdagangan. Untuk runcit pula melibatkan pasaraya, hypermarket dan kompleks perdagangan,” menurutnya.
Dalam pada itu, menurut garis panduan itu lagi, premis perniagaan menjual minuman keras yang memabukkan juga tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.
Pada masa sama, had masa kedai yang dibenarkan menjual arak untuk beroperasi juga ditetapkan mengikut premis berkenaan.
Sementara itu, DBKL berkata, garis panduan dan syarat permohonan lesen itu dibuat bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.
Katanya, garis panduan dan syarat itu juga telah disemak dan dibuat penambahbaikan melalui perbincangan dan permuafakatan bersama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Turut terlibat ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Garis panduan dan syarat ini boleh disemak melalui pautan di http://elesen.dbkl.gov.my (lihat di bawah tajuk Jenis Lesen – perkara no. 5) dan mula berkuatkuasa semalam,” katanya.
-Malaysiapost

