Fitri Nizam
KENYATAAN Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan ‘rela mati di gelanggang politik’ menunjukkan keangkuhannya sebagai pemimpin, kata Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata, kenyataan itu juga secara langsung menunjukkan Shafie tidak mengambil berat akan kebajikan dan kepentingan rakyat ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terbukti menjadi punca utama kepada penularan wabak Covid-19 yang serius namun ia boleh dielakkan jika PRN tidak diadakan.
“Itu sebabnya kita telah menegaskan agar Shafie seharusnya bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Sabah sekarang.
“Kerajaan Pusat dengan kerjasama dan sokongan padu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meningkatkan usaha bagi menangani masalah Covid-19 dengan menghulurkan segala bantuan yang diperlukan oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kenyataan itu dibuat Shafie ketika perbahasan di Dewan Rakyat bagi menjawab celahannya yang bertanyakan sama ada bekas Ketua Menteri Sabah terbabit kesal dengan cadangan pembubaran DUN bagi mengadakan PRN Sabah sehingga membawa peningkatan kes Covid-19 di Sabah.
Bagaimanapun, Mohamad berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memberi mandat kepada GRS untuk memerintah negeri itu.
“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada GRS untuk memerintah,” katanya. – Malaysiapost

