Permohonan maaf King Sing tidak ikhlas – Rayer

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] PERMOHONAN maaf Datuk Seri Tiong King Sing tidak ikhlas, kata Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Beliau berkata, permohonan maaf yang dilakukan Ahli Parlimen Bintulu terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah itu sepatutnya dibuat di dalam Dewan Rakyat dan bukannya di luar.

“Saya berpendapat ia tidak ikhlas kerana permohonan maaf perlu dibuat di dalam dewan yang mulia ini kerana kenyataan menghentam, mengkritik kakitangan utama negara dikatakan di dewan ini.

“Jika dia dah mohon maaf jadi keputusan yang dibuat Timbalan Speaker (Datuk Seri Azalina Othman Said) adalah kurang bijak dengan menghalau saya keluar dan juga Yang Berhormat Kepong keluar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata keputusan sama ada Rayer dan Lim Lip Eng ditarik balik akan dimaklumkan nanti.

Sebelum ini, dalam ucapan ketika perbahasan dalam Dewan Rakyat pada Rabu lalu, King Sing menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai individu ‘takut mati’ kerana gagal turun padang khususnya ke Sabah.

Beliau mendakwa, Dr Noor Hisham hanya mencari publisiti menerusi sidang media yang dikendalikan setiap hari dan gagal turun padang menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara terutama Sabah ketika ini.

Usaha Rayer mendesak King Sing memohon maaf kepada Dr Noor Hisham mencetuskan kekecohan di antara mereka yang membawa kepada Rayer diarah keluar dewan oleh Azalina.

Sehari selepas itu, seorang lagi Ahli Parlimen, Lim Lip Eng, digantung daripada Parlimen selama lima hari, selepas mempertikaikan keputusan Timbalan Speaker terbabit. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here