Gabungan besar parti politik penting untuk penyatuan ummah

0
1

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa negara memerlukan pembentukan suatu ‘Gabungan Besar’ yang melibatkan sekurang kurangnya 12 hingga 13 parti politik sealiran, demi penyatuan ummah.

Beliau berkata, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama dan berterusan kerana sudah terlalu lama politik negara hanya berlegar di sekeliling dua tiga personaliti, dan bukan atas dasar perjuangan.

“Sudah berkali kali politik nasional cuba diseret kerana mempertahan atau menentang individu. Cukup cukuplah,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat Umno, PAS dan Bersatu semata-mata.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu ‘Grand Coalition’ yang melibatkan sekurang kurangnya 12, 13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar (Gabungan/Muafakat Nasional) yang melibatkan BN,PN (anggota MN) GPS dan GRS. Gabungan ini terhasil dari muafakat dan kerjasama berkesan anggota dalam kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, beberapa parti yang bebas atau menolak PH juga boleh dibawa bersama.

“Yang penting kita tinggalkan politik yg berlegar sekeliling personaliti dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yg mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Perunding MN akan membuat sesi perjumpaan pada 18 November ini bagi membincangkan mengenai kerjasama Umno, PAS, Bersatu.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan memaklumkan PAS bersama-sama Umno dan Bersatu bakal membentuk gabungan rasmi dalam masa terdekat.

Menurut beliau, perbincangan antara tiga parti itu sedang berjalan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, perbincangan dan muafakat agar pembentukan gabungan ketiga-tiga parti (PAS, Umno dan Bersatu) diwujudkan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here