Fitri Nizam
AHLI Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat permohonan maaf atas keterlanjuran katanya ketika perbahasan Belanjawan 2021.
Permohonan maaf itu dipercayai ditujukan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas King Sing mengeluarkan kenyataan ‘takut mati’ terhadap ‘jeneral perang’ kesihatan itu.
King Sing berkata, permohonan maaf itu dibuat bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar dan demi memastikan kepentingan serta keharmonian negara.
Beliau pada masa sama berkata, kenyataan dikeluarkan itu bukan untuk menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, frontliners termasuk Ketua Pengarah Kesihatan.
“Saya hanya berniat untuk membahas soal Covid-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
King Sing sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Noor Hisham dan timbalannya ‘takut mati’ kerana didakwa tidak turun padang ke Sabah untuk memantau keadaan Covid-19 di negeri itu.
Noor Hisham bagaimanapun dalam kenyataan balas terhadap dakwaan itu berkata, beliau ada ke Sabah pada bulan Ogos lalu untuk memantau kesiapsiagaan petugas barisan hadapan di negeri itu.
Noor Hisham juga ada memuatnaik gambarnya bersama petugas kesihatan di Sabah menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini sebagai bukti. – Malaysiapost

