SELEPAS menghulurkan bantuan kepada 250 pemandu bas sekolah, pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew sekali lagi turun padang meneruskan misi bantuan kepada Zoo Negara.
Ebit berkata, beliau mendapat permintaan dari Zoo Negara untuk menyelamatkan haiwan di situ berikutan kekurangan dana penyelenggaraan.
Sehubungan itu, beliau menyumbang 200 kilogram (kg) daging lembu dan 500 kg buah-buahan dan sayuran.
“Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari zoo negara untuk selamatkan haiwan di sana.
“Perbelanjaan mereka RM1 juta sebulan hanya untuk makanan dan penyelenggaraan zoo,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Zoo Negara langsung tidak mempunyai sumber pendapatan sejak beberapa bulan lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sekarang dah banyak bulan tiada langsung pendapatan semenjak awal PKP. Mereka sangat kekurangan dana.
“Saya tahu tengah hari tadi. Petang ni terus bawa 200kg Daging lembu dan 500kg buahan dan sayuran.
“Dulu saya sampai sini masa darjah 1. Selalu juga bawa anak-anak. Kenalkan pada anak haiwan disini,” katanya.
Ebit berkata, Zoo Negara mengalu-alukan sesiapa ingin membantu dari segi duit atau makanan.
“Rupanya Zoo Negara dikendalikan oleh NGO sahaja. Sesiapa ingin membantu boleh terus hubungi Zoo Negara,” katanya.
Semalam, Ebit menghulurkan bantuan barangan keperluan dan juga sedikit wang tunai kepada 250 pemandu bas sekolah bagi meringan beban mereka.
“Sayu dan sebak petang ini bila pemandu bas sekolah minta bantuan. Saya hadiahkan sedikit barang dapur untuk 250 orang ‘driver’. Saya pack dari Elewsmart tadi, ” katanya. -Malaysiapost

