Amaran Tengku Zafrul satu bentuk ugutan – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyifatkan amaran Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa gaji petugas barisan hadapan akan terjejas jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan, sebagai satu ugutan.

Justeru, Kit Siang menzahirkan rasa tidak senangnya terhadap amaran dikeluarkan Tengku Zafrul yang turut dianggapnya sebagai ancaman terhadap pembangkang.

Beliau juga mendakwa, Menteri Kewangan mengambil kesempatan terhadap nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 untuk memulihkan ekonomi negara dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang dikatakan datang “sekali dalam seabad”.

Malah, Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu menyifatkan tindakan Tengku Zafrul sebagai tidak bertanggungjawab.

“Semalam, Menteri Kewangan telah memberikan amaran, mengatakan yang gaji para penjawat awam, petugas kesihatan, dan bantuan kewangan akan terhalang jika Belanjawan 2021 ini tidak diluluskan.

“Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kenyataan Tengku Zafrul ini adalah satu ugutan yang tidak boleh diterima dan merupakan satu cubaan untuk mengetepikan kritikan yang sah terhadap Belanjawan 2021 yang tidak dipertimbangkan oleh kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang menggesa satu lagi pertemuan bersama Tengku Zafrul diadakan bagi mempertimbang kembali cadangan pihak pembangkang yang diberikan sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan.

“Memandangkan telah selesai seminggu perbahasan Belanjawan 2021 ini, Tengku Zafrul perlu berjumpa dengan ketua pembangkang untuk membincangkan bagaimana beliau boleh memasukkan pendapat dan cadangan ahli-ahli parlimen pembangkang supaya Belanjawan 2021 ini boleh benar-benar menjadi Belanjawan Perpaduan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here