Timbang pengeluaran ‘one-off’ RM10,000 demi rakyat – Najib

0
1
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-21 Malaysia-Brunei di Istana Nurul Iman hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan agar menimbang semula pengeluaran ‘one-off’ RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi rakyat.

Najib berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji dengan lebih terperinci mengenai perkara itu kerana melibatkan rakyat.

“Kenapa terdesak untuk umumkan sesuatu yang tidak memenuhi keperluan?

“Kenapa nak teruskan dengan had pengeluaran RM500 sebulan hanya untuk mereka yang kehilangan kerja sahaja jika ia tidak memenuhi keperluan dan kehendak ramai?

“Adakah hanya 600,000 warga Malaysia yang hilang kerja perlu dibantu? Bagaimana pula dengan mereka yang tak hilang kerja tetapi pendapatan bulanan mereka turun mendadak sebab OT, elaun, point servis, komisyen dan sebagainya dikurangkan atau gaji asas mereka dipotong majikan?

“Ramai pekerja juga terpaksa bersetuju dengan majikan untuk ambil no-pay leave atau half-pay untuk membantu kelangsungan majikan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, mereka yang tidak hilang pekerjaan tetapi pendapatan berkurang kerana komitmen bulanan tetap tinggi.

“Mengapa pembayaran ‘one off’ sehingga RM10,000 ini amat diperlukan oleh pencarum dan kenapa ianya perlu diperluaskan kepada mereka yang tidak hilang kerja?,” soal Najib.

Beliau berkata, antara sebab adalah pembayaran ‘one-off’ itu boleh digunakan sebagai penyelesaian tunggakan hutang seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anak-anak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.

“Jika tak boleh buat RM10,000 sekali gus. Boleh pertimbangkan ‘lump sum’ RM3,000 atau RM5,000. Bakinya dibayar secara beransur setiap bulan untuk tiga atau enam bulan lagi.

“Selain daripada itu, wang ‘lump sum’ tersebut juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah kehilangan kerja.

“Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti motosikal bagi menjadi pemandu penghantar makanan atau barangan,” katanya.

Menurutnya, rakyat juga boleh menjadikan wang berkenaan sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau ‘online business’ yang kini semakin pesat mengembang.

“Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja.

“Sudah tentu, pengeluaran ‘one off’ RM10,000 ini dapat membantu Kapten Azrin Mohamad Zawawi (bekas juruterbang) mengembangkan perniagaan warung Kaptennya.

“Secara tidak langsung, Mak Cik Kiah juga dapat mengembangkan lagi perniagaan pisang goreng beliau kepada perniagaan air tebu dan sebagainya.

“Ramai yang mahu duit ‘lump sum’ untuk rolling. Sekali lagi, hanya RM500 sebulan dan dihadkan untuk mereka yang sudah hilang kerja sahaja tidak memenuhi keperluan ramai,” katanya. – Malaysiapost