Nurul Huda Abhar
TIDAK sampai 24 jam bekalan air di Selangor pulih, pagi ini Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah mengesan pencemaran bau di udara berhampiran kawasan Perumahan Saujana, di Rawang kira-kira jam 12 tengah malam tadi semasa menjalankan Ops Sumber Air.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Luas memaklumkan pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat ujian pensampelan bau air di Sungai Kundang berhampiran kawasan perumahan tersebut dan telah mengesan pencemaran bau sebanyak 4 TON.
“Luas bersama Air Selangor telah membuat siasatan di kawasan Taman Velox dan mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Indah Water Konsortium (IWK) telah melimpah, disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran.
“Luas dan Air Selangor mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang di syaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan.
“Tiada henti tugas LRA dan gangguan bekalan air dilaporkan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Terdahulu, tidak kurang dari 24 jam sebanyak 1,279 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang terjejas dalam gangguan bekalan air telah pulih sepenuhnya.
Ianya susulan daripada empat LRA iaitu fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar jam 12.20 hingga jam 12.45 tengah hari, 10 November lalu. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter @/AfiezyAzaman

