Mahathir: Anwar tiada keupayaan memimpin negara ketika krisis

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini secara terbuka menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak mentadbir negara, khususnya ketika berdepan krisis.

Ia dilihat bertentangan dengan kesediaannya sebelum ini ketika bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan tampuk kerajaan kepada Presiden PKR itu.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Mahathir berkata bekas timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan memberi contoh krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.

“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi Perdana Menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam wawancara itu.

Anwar kemudian dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan setahun kemudian. Dia melancarkan gerakan Reformasi untuk melawan Mahathir dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara.

Bagaimanapun, kedua-duanya berdamai buat sementara waktu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menentang Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Kerjasama itu membawa kepada gabungan PH, yang terdiri daripada Bersatu di bawah pimpinan Mahathir, PKR, Amanah dan DAP. -Malaysiapost