MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan harus memberi pengecualian kepada sekolah di luar bandar untuk terus beroperasi bagi mengelakkan ada pelajar yang ketinggalan berbanding mereka yang berada di kawasan bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata kerajaan juga perlu pertimbangkan untuk membuka semula sekolah-sekolah di kawasan luar bandar di Pahang yang hanya terdapat 20 orang pelajar.
Beliau yang turut mengadakan lawatan mengunjungi masyarakat Orang Asli Pos Menson di Cameron Highlands, berkata berdasarkan maklum balas, pelajar di sana agak ketinggalan.
“Walaupun Kementerian Pendidikan mengarahkan para guru untuk mengajar secara dalam talian, itu tidak berkesan di kawasan luar bandar kerana capaian internet mereka lemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Yoke Kong turut memaklumkan risiko penularan wabak Covid-19 amat kecil di sekolah yang mempunyai jumlah murid hanya 20 orang.
Katanya, kadar jangkitan wabak itu amat rendah jika dibandingkan dengan sekolah yang mempunyai kapasiti pelajar yang ramai seperti di kawasan bandar.
“Ini untuk menutup jurang pembelajaran antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar.
“Ketidaksamaan dalam pembelajaran akan menyebabkan anak-anak di luar bandar terpencil,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, ada ibu bapa Orang Asli yang mengadu bahawa pembelajaran anaknya terganggu ketika berada di rumah.
Ini kerana, katanya, persekitaran rumah mereka tidak sama seperti suasana di sekolah yang lebih selesa untuk sesi pembelajaran.
“Kita perlu memahami bahawa sekolah memainkan peranan besar kepada anak-anak di luar bandar. Sekolah adalah satu-satunya tempat yang mendorong proses pembelajaran,” katanya.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan penutupan sekolah di seluruh negara dari 9 November hingga 17 Disember, sementara sekolah yang termasuk dalam kategori B akan ditutup hingga 18 Disember.
Penutupan sesi persekolahan itu melibatkan lima juta pelajar dan 500,000 guru.
Sepanjang penutupan sekolah, sesi pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan di rumah, mengikut kesesuaian guru dan murid. -Malaysiapost

