Nurul Huda Abhar
AKAR umbi Umno dan PAS mula resah dengan hubungan kerjasama dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) selepas melihat pergeseran yang timbul dalam kalangan pemimpin parti itu ketika ini.
Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin berkata, semua pihak harus memegang aspek perdamaian dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan.
Beliau berkata, akar umbi Umno dan PAS perlu menghakis prasangka yang wujud dan tetap teguh berpegang dengan penyatuan yang sedia ada.
“Saya minta bagi peringkat bawah akar umbi agar bertenang, jangan melontarkan komen yang boleh mengguris atau mengeruhkan keadaan. Kita serah pada pucuk pimpinan MN di kalangan PAS dan Umno untuk menangani isu ini dengan lebih bijak.
“Saya mempercayai dan saya rasa kepimpinan MN sudah terlalu matang dalam politik Malaysia dan berjaya untuk mengawal keadaan. Apa-apa pun kita di akar umbi diminta untuk bertenang serahkan masalah ini untuk diselesaikan pada pucuk pimpinan,” katanya kepada Malaysiapost.
Menurut beliau, tidak sepatutnya wujud tindakan provokasi atau sengaja ingin mengeruhkan lagi situasi politik semasa yang sedang hangat.
Katanya, akar umbi harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penyatuan ummah yang dicapai dalam MN bagi menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Terbaru, pergeseran antara pemimpin Umno dan PAS timbul apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan sokongan bersyarat BN terhadap Belanjawan 2021 sebagai “hikayat Puteri Gunung Ledang”.
Pandangan itu dilontarkan apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berbahas di Parlimen Rabu lalu, meminta supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman dan pengeluaran wang caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai syarat sokongan BN.
Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendapat kritikan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan apa dibangkitkan Najib sebagai hakikat suara rakyat.
“Jangan mencurah minyak ke dalam api, terus perkukuhkan MN terus memperjuangkan penyatuan ummah ini. Doa kita kepada Allah jangan putus, solat hajat agar Allah jaga hubungan kita (MN) ini.
“Teruskan perkukuh di peringkat akar umbi, gerakkan penyatuan ummah. Kita akan menghadapi Pilihan Raya tidak lama lagi kita yakin dengan MN kerajaan Malaysia akan terus berada di di tangan Melayu dan Islam,” kata Ahmad Husam lagi.
Sementara itu, beliau turut menegaskan agar sebarang tindakan akar umbi harus merujuk kepada pucuk pimpinan parti masing-masing agar tidak berlaku sebarang permasalahan kelak.
“Apa-apa pun kita rujuk pada pimpinan kita, jangan mendahului kepimpinan dalam apa-apa keadaan,” ujarnya. – Malaysiapost

