MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kesal apabila sesetengah pihak cuba mentafsirkan keputusan membenarkan peniaga kecil berniaga menerusi inisiatif ‘wilayah bebas peniaga’ sebagai langkah buruk untuk Kuala Lumpur.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan bermakna semua orang boleh melanggarkan undang-undang dan peraturan serta tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya percaya rakyat faham perkara itu, tetapi ada sesetengah pihak cuba tafsirkan seolah-olah ini langkah buruk bagi Kuala Lumpur… tikus akan merayap, berlaku kekotoran dan kesesakan.
“Kenapa nak ambil sikap negatif termasuklah pemilik perniagaan besar, jangan terlalu tamak fikirkan kita sahaja,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook portal Wilayahku hari ini.
Annuar berkata, kebenaran berniaga menerusi ‘wilayah bebas berniaga’ adalah langkah sementara selama enam bulan untuk memberi peluang kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19 mencari rezeki.
“Sampai ada beberapa persatuan buat kenyataan media bersama seolah-olah saya tak fikir undang-undang dan peraturan.
“Jangan fikir hanya soal kita… saya tahu mereka (persatuan peniaga) juga susah, saya faham itu semua tapi jangan pandang sepi pada masalah orang kecil, orang nak buka warung, nak jual nasi lemak.
“Mereka ada tanggungan, ada anak, nak bayar sewa rumah, bil elektrik dan sebagainya,” katanya.
Baru-baru ini, Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ selama enam bulan bermula Ahad ini, bertujuan meringankan beban warga Malaysia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan PKPB.
Menerusi inisiatif itu, penduduk ketiga-tiga wilayah dibenarkan berniaga apa saja jenis perniagaan termasuk makanan dan pakaian sehingga 15 April 2021, namun perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya lokasi tidak ganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat niaga.
Susulan itu, beberapa pihak membantah termasuk persatuan peniaga dan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok.
Mereka antara lain mendakwa ia seperti membuka pintu kepada ramai orang di Kuala Lumpur dan Putrajaya melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan. – Malaysiapost

