Muhammad Mustakim Ramli
TINDAKAN Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan kecil di mana-mana kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dipersoalkan pembangkang.
Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, tindakan itu seolah-olah cuba menjadikan Wilayah Persekutuan seperti kawasan Parlimen menteri itu iaitu di Ketereh, Kelantan.
“Di mana semua orang boleh buka gerai, buka meja, jual apa-apa pun di mana-mana tempat.
“Kenyataan seperti ini berbahaya kerana ia seperti membuka pintu kepada ramai orang di Kuala Lumpur dan Putrajaya melanggar undang-undang dan peraturan kerajaan tempatan,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mencelah oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), Kok bertanya sama ada Shahidan berminat untuk membuka gerai.
“Arau (Shahidan) mahu buka gerai jadi penjaja ke? Boleh buat di Jalan Parlimen nanti Menteri Wilayah akan setuju. Esok kita lihat Arau buka gerai nasi lemak,” katanya.
Shahidan kemudian mencelah dan memaklumkan beliau akan membuka gerai esok dan akan belanja semua orang nasi lemak secara percuma.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai Ahad ini.
Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun berkata peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang ditawarkan secara percuma.
“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘Wilayah bebas berniaga’…sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.
“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya. – Malaysiapost

