Tidak hairan jika MP Pasir Mas sindir, mereka juga mahukan kuasa – Mohd Puad

0
2

TIADA yang pelik dengan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 umpama ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ini kerana, Ahmad Fadhli adalah ahli politik PAS dan semestinya mahukan kuasa dalam pemerintahan negara kerana turut mempunyai jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Sebab itu kita faham bila Yang Berhormat (YB) Pasir Mas sokong Bajet tanpa syarat.

“Memperjuangkan nasib rakyat yang terkesan teruk kerana Covid-19 bukan cerita dongeng. Moratorium automatik dan pengeluaran dari akaun 1 KWSP bukan cerita hikayat. Ia adalah suara rakyat untuk kesenangan rakyat.

“Ia tidak melibatkan pertambahan perbelanjaan. Akaun 1 adalah duit rakyat. Moratorium automatik pula hanyalah penangguhan sementara membayar pinjaman kepada bank yang masih untung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak Najib ketika perbahasan Belanjawan 2021 berkata sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap bajet itu bersyarat dengan menuntut kerajaan membenar pengeluaran ‘one-off’ hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kwsp selain melanjutkan moratorium.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berpandangan pindaan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik Covid-19

Pada masa sama, Mohd Puad berkata ‘Syarat Puteri Gunung Ledang’ adalah sindiran membawa maksud supaya ketepikan kepentingan politik dan fokus kepada menjaga kebajikan rakyat.

“Sokongan bersyarat BN ialah untuk rakyat. Bukan kerana kesenangan dan kuasa.

“Tujuh dulang hati kuman dan tujuh dulang darah anak sendiri bukan syarat BN. Sebaliknya BN mahu “hati” rakyat senang dan “darah” keringat rakyat dihargai. Ramai hilang kerja dan bankrap. Rakyat susah.

“Apakah YB Ahmad Fadhil mahu tukar Pasir Mas kepada Jambatan Emas seperti dalam cerita dongeng itu demi menjaga kepentingan kelompok sendiri bukan rakyat?,” ujarnya. – Malaysiapost