Terganggu 2 jam, tanda pagar ‘YoutubeDown’ trending di media sosial

0
2

PENGGUNA laman YouTube kembali menarik nafas lega kerana gangguan akses yang berlaku di laman itu telah dibaikpulih dan sedia untuk digunakan kembali.

Laman penstriman video terbesar dunia itu mengalami kegagalan untuk diakses dan melibatkan pengguna di seluruh dunia.

Masalah dikenalpasti berlaku sekitar jam 8 pagi tadi waktu tempatan dan pulih pada jam 10 pagi, hari ini.

Menerusi semakan di Twitter, YouTube dalam kenyataan memaklumkan terdapat masalah untuk menstrim video dan mendengar muzik melalui YouTube, YouTube TV, YouTube Music serta YouTube Kids.

Bagaimanapun, selepas dua jam catatan tersebut dimuatnaik, YouTube mengemaskini hantaran baharu memaklumkan ia telah dibaikpulih dan laman itu sedia untuk diakses seperti biasa.

Organisasi mega itu juga memohon maaf atas gangguan dihadapi pengguna dan mengucapkan terima kasih atas kesabaran pelayar menunggu sehingga laman tersebut kembali pulih.

Namun begitu, YouTube tidak mengeluarkan sebarang penjelasan terperinci punca gangguan itu dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang.

Situasi berkenaan menyebabkan YouTube ‘trending’ di mana-mana plaftrom media sosial seluruh dunia dengan ditulis tanda pagar #YoutubeDown.

Dikatakan, awalnya masalah hanya melibatkan pengguna YouTube Studio yang tidak boleh memuat naik video ke laman itu.

Kemudian, ia merebak sehingga semua pengguna tidak boleh menonton sebarang video. – Malaysiapost