Tak kebulur jika menteri potong gaji untuk bantu rakyat – Dr M

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menteri dan timbalan Menteri tidak akan kebuluran jika gaji dipotong ketika Covid-19.

Dr Mahathir (Bebas-Langkawi) berkata, gaji barisan Kabinet ketika ini lebih daripada mencukupi dan seharusnya dipotong bagi membantu rakyat.

“Saya tak fikir menteri akan kebuluran sekiranya gaji dikurangkan 30 peratus. Sebaliknya ramai yang tidak mempunyai pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja dan berniaga.

“Bukan sahaja mereka, malah keluarga mereka juga turut sama menderita. Kalau tak berani… 10 peratus pun boleh diterima menteri-menteri,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2021 hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata jumlah peruntukan Belanjawan 2021 untuk membendung Covid-19 mencerminkan kerajaan tidak serius untuk menangani pandemik itu, iaitu hanya sekitar satu peratus dari keseluruhan belanjawan.

“Saya akui kita tangani Covid-19 dengan baik saya ucap tahniah kepada (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Noor Hisham (Abdullah) atas kejayaannya… tetapi ada negara yang lebih berjaya dari kita.

“Ada teknologi baru yang diperkenal, kita perlu belajar dari mereka ini yang berjaya. Kita juga perlu kaji tekonologi baru yang mungkin boleh kurangkan jangkitan penyakit itu dan ia akan memperbaiki ekonomi kita,” katanya.

Dr Mahathir mencadangkan beberapa perkara untuk menangani permasalahan berkenaan, namun ia akan membabitkan peruntukan tinggi.

Katanya, ketika ini dua minggu diperlukan untuk menentukan seseorang itu dijangkiti Covid-19, namun ia boleh ditentukan dalam masa satu setengah jam dan ada yang boleh diketahui serta-merta.

Beliau berkata, melalui kaedah itu individu berkenaan boleh dibenar berkerja dan membuat lawatan ke kawasan hijau dan mereka juga boleh disaring sekali lagi di kawasan hijau bagi menentukan bebas dari jangkitan.

“Kita tahu industri pelancongan penting untuk ekonomi negara. Apabila mereka yang sihat dikuarantin termasuk semasa ‘lockdown’, daya keluar atau produktiviti mereka tidak dapat menyumbang kepada ekonomi dan ini akan menyebabkan ekonomi merosot.

“Sesungguhnya lebih ramai yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti.

“Apabila ‘lockdown’ lebih ramai yang sihat menjadi tidak produktif sebaliknya jika kita dapat tentukan melalui ‘test’ tidak dijangkiti, boleh ikut SOP dapat melancong dan bekerja ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

Dr Mahathir mengakui kos pemeriksaan itu tinggi tetapi beliau yakin jika dilaksanakan, kerajaan akan dapat pulangan daripada golongan yang dibenarkan bekerja itu.

“Harus kita ingat kesan Covid-19 ini bukan sahaja terhadap kesihatan tetapi amat teruk juga kepada ekonomi. ‘Lockdown’ adalah cara membendung Covid-19 yang berkesan tetapi ia menjejas ekonomi dengan teruk.

“Lebih lama ‘lockdown’ lebih teruk lagi kemerosotan ekonomi. Ia menekan rakyat miskin sehingga ada yang kehilangan pendapatan,” katanya. – Malaysiapost