Pak Long faham kemarahan penyokong bola sepak

0
2

MENTERI Kanan (Keselamatan), DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau faham kemarahan peminat bola sepak susulan perlawanan bagi sukan itu dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Membahasakan diri sebagai Pak Long, Menteri Kanan (Keselamatan) itu memberi penjelasan mengapa perlawanan bola sepak tidak boleh dilaksanakan, agar tidak timbul salah faham berpanjangan.

“Dalam perlawanan bola sepak, penjarakan sosial adalah mustahil, malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh.

“Semestinya perlawanan bola sepak melibatkan beberapa negeri dan akan melibatkan pergerakan rentas negeri.

“Di dalam bilik persalinan juga sukar di kawal prosedur operasi standard (SOP) dan begitu juga sewaktu ke tempat perlawanan dengan bas. Pastinya sentuhan akan berlaku,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Sebelum ini pelbagai pihak membantah keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menangguhkan saingan Piala Malaysia yang kini memasuki peringkat suku akhir.

Pengandali Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) dalam rayuannya antara lain mencadangkan baki perlawanan Piala Malaysia boleh diadakan di stadium dalam negeri yang tidak dikenakan PKPB iaitu Pahang dan Kelantan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, banyak bahayanya kepada pemain dan juga kru yang terlibat jika perlawanan bola sepak diadakan.

“Perlawanan bola sepak ini bukan dibatalkan terus tetapi ditangguhkan sehingga tamat PKPB.

“Bukanlah Pak Long hendak melarang sebarang aktiviti sukan. Tidak. Pak Long faham ramai rakyat Malaysia meminati sukan dan menjadikan sukan bola sepak sebagai pilihan tontonan utama.

“Pak Long sendiri pun penyokong Pahang FA dan #kekalsetia menyokong Chelsea FC,” katanya.

Beliau menambah, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama.

Tambahan pula katanya, rakyat sudah dimaklumkan dalam PKPB, pertandingan berpasukan tidak dibenarkan, begitu juga Sukan Malaysia (SUKMA) dibatalkan secara sukarela.

“Fikirkan juga keselamatan dan nyawa pemain-pemain bola sepak kita,” katanya. – Malaysiapost