King Sing tak berniat merendahkan Dr Noor Hisham

0
1

[Parlimen] KENYATAAN Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, tidak berniat untuk merendahkan Ketua Pengarah Kesihatan memerangai Covid-19.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata ucapan itu sebaliknya memetik kenyataan pihak lain yang disampaikan kepada King Sing.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan tidak meremehkan usaha pegawai kerajaan yang sedang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

“Kenyataan itu bukan dia (King Sing) kata, orang yang kata mengapa DG (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) tidak turun padang, DG takut matikah?

“Ia mungkin bahasa tempatan (Sarawak) yang tidak bermaksud begitu pun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, suasana persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan King Sing yang menyebut ‘DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati’ pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

Kekecohan itu juga menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dewan selepas enggan akur kepada arahan Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman, yang meminta beliau duduk.

Dalam pada itu, Shahidan menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang cuba mengambil kesempatan, selain mendakwa tiada tindakan diambil ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada waktu Covid-19 mula melanda negara.

Beliau menegaskan peranan penting kepada Menteri Kesihatan baharu dan Dr Noor Hisham bagi membantu kerajaan membendung Covid-19 diberi ketika pentadbiran diambil alih Perikatan Nasional (PN).

“PH sepatutnya menyokong apa yang dilakukan PN, bukan mengambil kesempatan manipulasi kenyataan, seolah-oleh menunjukkan Ahli Parlimen kerajaan merendah-rendahkan pegawai kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beberapa wakil rakyat pembangkang pada sidang media selepas penangguhan persidanganDewan Rakyat, menggesa King Sing menarik balik kenyataan beliau.

Mereka ialah Rayer; Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang); Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).

Kumpulan wakil rakyat itu turut menggesa Ahli Parlimen Bintulu memohon maaf kepada Dr Noor Hisham serta seluruh petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus mengekang penularan pandemik Covid-19. – Malaysiapost