JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu membenarkan semua 153 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negeri itu dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.
Bagaimanapun kebenaran itu hanya membabitkan penjagaan anak petugas barisan hadapan.
Pengarahnya, Zuhaimi Omar, berkata semua pengusaha TASKA yang hendak beroperasi, dikehendaki membuat permohonan terlebih dahulu.
“Selepas mendapat kelulusan JKM, baru premis berkenaan dibenarkan beroperasi dan kelonggaran hanya diberi kepada pengusaha TASKA yang berdaftar,” katanya seperti dilapor BH.
Zuhaimi berkata, pihaknya menerima banyak permohonan dan setakat ini masih dalam proses penilaian kerana pengusaha perlu mengemukakan surat pengesahan majikan bagi memastikan kanak-kanak yang dihantar adalah anak petugas barisan hadapan.
“Kita tidak mahu ada pengusaha mengambil kesempatan dengan menerima penjagaan selain anak-anak petugas barisan hadapan, sebab itu kita perlukan mereka kemukakan surat pengesahan daripada majikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidik TASKA Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hasan, berkata, pihaknya tidak menolak kesan pandemik Covid-19 menyebabkan ada dalam kalangan ahlinya terpaksa menutup premis berikutan tidak berkemampuan untuk membayar sewa premis dan gaji pekerja.
“Kita faham kesulitan dialami beberapa pengusaha, namun kita tidak boleh membenarkan mereka menerima anak-anak, selain anak petugas barisan hadapan sebagaimana ditetapkan JKM ,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengusaha TASKA yang berdaftar di bawah PPTNT mematuhi arahan kerajaan yang bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

