POLIS Selangor menerima dua laporan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata
laporan dibuat seorang lelaki pada jam 6.50 petang semalam di Sepang, selepas melihat Instagram Adun terbabit dan mendapati sembilan gambar di Pantai Bagan Lalang dimuat naik di laman sosial tersebut.
“Pengadu mengatakan kejadian membabitkan ahli politik ini bukan kali pertama dan ia berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil.
“Sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta-merta dikenakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Semalam, Adun DAP itu memohon maaf susulan gambar di Instagram menunjukkan beliau menyambut majlis ulang tahun kelahiran di satu lokasi di Selangor tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak dalam Selangor, negeri saya bermastautin.
“Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19. Terima kasih,” katanya.
Hantaran gambar di Instagram bersama empat rakannya itu mendapat kecaman warganet dan ia sudah dipadamkan.
Sebelum ini, Young Syefura antara pemimpin yang lantang mengkritik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki. – Malaysiapost

