Fitri Nizam
KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya gabungan itu bagi mengetuai persediaan pilihan raya.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Majlis Tertinggi PN telah bermesyuarat semalam dan memuktamadkan beberapa keputusan bagi mengukuhkan kedudukan sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.
Katanya, untuk memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh, Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaraskan aktiviti parti di peringkat negeri.
Menurutnya, Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri.
“Selain itu, Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara melantik Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.
“Sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Ir Khairil Nizam juga diminta merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli-ahli parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi percaya keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti-parti komponen. – Malaysiapost

