Covid-19: 972 kes baharu, lapan kematian

0
1

Nilam Oshman

SEBANYAK 972 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan lapan kematian direkodkan, hari ini.

Daripada jumlah kes itu, 967 daripadanya adalah kes tempatan dan lima kes import.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 41,181 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, Sabah mencatat kes baharu tertinggi dengan 370 kes.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 165 kes dan sebanyak 14 kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan dengan kluster-kluster di pusat tahanan sementara dan penjara.

“Ini melibatkan Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau enam kes, Kluster Penjara Sandakan empat kes dan Kluster Penjara Kepayan empat kes,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Negeri Sembilan mencatatkan 260 kes, diikuti Selangor (137), Wilayah Persekutuan Labuan (63), Wilayah Kuala Lumpur (20), Perak (51), Pulau Pinang (34), masing-masing di Johor dan Kedah (8).

“Manakala masing-masing di Putrajaya dan Melaka (5), Sarawak (4), Kelantan (2).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 86 individu masih di rawatan rapi (ICU) di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat penambahan lapan kematian kes hari ini, justeru jumlah kumalatif kematian adalah 294 kes,” katanya. -Malaysiapost.