Alvin Goh failkan permohonan habeas corpus

0
1

AHLI perniagaan yang direman 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berhubung kes sindiket perjudian dalam talian haram, Goh Leong Yeong, memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta.

Leong Yeong, 32, memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 November lalu, melalui Tetuan TY Teh & Partners dengan menamakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan; seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Leong Yeong yang turut dikenali sebagai Alvin, memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur serta bersifat mala fide (berniat jahat).

Lelaki itu juga memohon perintah bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari hingga 21 November ini bawah POCA, adalah tidak sah, lapor Bernama.

Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 bawah POCA bahawa semua orang yang terbabit dalam pengelolaan dan penggalakan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan.

Beliau juga memohon perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibawa dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta-merta, selain memohon perintah supaya beliau tidak boleh ditangkap atau ditahan semula.

Sementara itu ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, hari ini, mahkamah menetapkan 16 November ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Terdahulu peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Leong Yeong, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon tarikh pendengaran ditetapkan.

“Anak guam saya memfailkan permohonan habeas corpus berhubung penahanannya yang tidak sah.

“Untuk makluman mahkamah, peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram, tidak dapat hadir pada hari ini.

“Pihak kami juga telah menyerahkan afidavit (bagi menyokong permohonan) kepada responden, minggu lalu,” katanya.

Peguam Persekutuan, Adilah Roslan yang mewakili semua responden, berkata pihaknya perlu memfailkan balasan terhadap afidavit berkenaan.

Mahkamah memerintahkan semua responden memfailkan balasan terhadap afidavit pada atau sebelum 16 November ini.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan Alvin dikatakan melarikan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam. -Malaysiapost