Sekolah di seluruh negara ditutup mulai esok

0
2

Fitri Nizam

SEKOLAH di seluruh negara termasuk Kolej Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) ditutup bermula esok sehingga hari akhir persekolahan 2020, selaras pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata keputusan penutupan sekolah itu turut merangkumi Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Katanya, penutupan sekolah sehingga 17 dan 18 Disember itu adalah sebagai langkah membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran tetap diteruskan secara ‘Home-based Learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya pada sidang media KPM, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga yang anaknya tinggal di asrama perlu mengambil anak masing-masing untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, katanya, murid dibenarkan kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil pulang oleh ibu bapa masing-masing.

“Sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya. – Malaysiapost