KERAJAAN mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya dapat menimbang menambah pencarum bagi pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 1.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbincangan hari ini dibuat kerana kerajaan prihatin dengan keluhan rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Menurutnya, rakyat berharap KWSP lebih fleksibel supaya ramai pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan mereka.
“Ramai yang minta, kita telah mendengar isu-isu dibangkit oleh rakyat. Jadi, kita rasa kita kena bersasar, yang mana kita akan beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk keluarkan (simpanan) dari Akaun 1 secara bersasar.
“Apa maksud hilang pekerjaan dan terkesan dengan Covid-19? Saya sudah berbincang dengan pengurusan KWSP hari ini. Mereka berjanji akan umumkan cara keluarkan (caruman) dan siapa yang layak.
“Nasihat kepada pengurusan KWSP adalah untuk perluaskan sasaran yang sebelum ini diumum. Setelah dengar keluhan rakyat, kenalah lebih fleksibel supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh keluarkan (caruman),” katanya dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung malam ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan pencarum KWSP memiliki purata baki simpanan bawah RM5,000.
Kata beliau, data itu belum didedahkan kepada umum selepas kerajaan memberi kebenaran kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka dari KWSP.
Justeru, katanya, ia sekali gus menjadi isu jaringan keselamatan sosial yang penting untuk kerajaan fokus dalam tempoh sederhana dan panjang.
“Saya nak ceritakan apa yang belum diceritakan. Pencarum KWSP juga kita kena ada penyelesaian jangka panjang untuk pencarum mengenai isu struktur yang mana negara kita perlu tangani dalam masa sederhana.
“Ini kerana data KWSP menunjukkan 32 peratus daripada jumlah pencarum dalam KWSP hanya ada baki Akaun 1 secara purata RM1,000, manakala 10 peratus lagi adalah purata baki dalam Akaun 1 sebanyak RM5,000.
“Oleh itu, 42 peratus pencarum KWSP ada baki hanya purata RM5,000 ke bawah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau menyatakan, struktur isu jaringan keselamatan sosial amat penting bagi kerajaan untuk lebih memberi fokus dalam masa pendek dan tempoh jangka panjang. – Malaysiapost

