SIDANG Dewan Undang Negeri (DUN) Melaka yang dijadual bermula esok hingga Rabu ditangguhkan selama sebulan.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Melaka, Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, penangguhan itu susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa mulai esok.
Beliau menyatakan PKPB mengenakan sekatan mengadakan perhimpunan dan perjalanan, walaupun mesyuarat perundangan tidak dilarang secara menyeluruh.
Dengan penjadualan semula sidang berkenaan, DUN Melaka akan menyaksikan pembentangan belanjawan untuk negeri itu diadakan pada 8 Disember depan.
Sementara itu, Adun Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Swee Lin membantah keputusan kerajaan negeri untuk menunda persidangan tersebut kerana menganggap ia bakal menyulitkan pentadbiran negeri dan menimbulkan kegusaran rakyat.
Swee Lin yang juga ahli jawatankuasa Wanita PKR berkata, penting untuk belanjawan kali ini dibahaskan semua Adun kerana membabitkan dasar ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan Melaka wajar mencontohi Selangor yang meneruskan sidang DUN walaupun dalam keadaan negeri itu dikenakan PKPB.
“Selangor membuktikan sidangan DUN boleh dikendalikan dengan mematuhi prosedur operasi standard pencegahan wabak Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Sementara itu, kerajaan Kedah pula berhasrat meneruskan persidangan DUN yang dijadualkan pada 15 hingga 19 November ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan itu bagaimanapun belum muktamad sehinggalah mendapat maklum balas daripada MKN.
“Pihak saya sudah rujuk MKN negeri untuk rujuk dengan MKN Pusat sama ada Sidang DUN perlu dibuat separuh hari atau dipendekkan masa.
“Kita bergantung kepada pandangan MKN, pihak MKN akan maklumkan kepada saya sama ada ia patut dilangsungkan atau bagaimana, Insya-Allah petang ini saya akan dapat maklumat itu,” katanya. – Malaysiapost

