IBU kepada pelakon kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz menhembuskan nafas terakhir pada malam tadi.
Pelakon berusia 44 tahun tersebut menerusi catatan di laman Instagram (IG) hari ini memaklumkan berita sedih tersebut.
Aaron juga memuatnaik foto ibunya, Juriana Jaafar dan satu video berdurasi 20 saat yang memaparkan suasana di tanah perkuburan.
“Hujan rahmat dari Mu Allah sebaik sahaja kami kebumikan Bonda yang tercinta. Jadilah ini tanda bondaku sudah diampunkan dan ringankanlah alam barzahnya sehingga kami bertemu sekali lagi di Jannahtul Firdaus A’la.
“Terima kasih kepada semua doktor dan jururawat di CGH. Terima kasih atas segala doa-doa kalian.” tulisnya hari ini.
Sementara itu, menerusi entri berlainan, Aaron mendoakan agar ibunya diampunkan dan semoga amal yang dilakukan selama ini menemani ibunya di alam sana.
“Innalillahwainailaihirojiuun. Ya Allah ambillah pahala daripada ibadat umrahku serta selamatkanlah ibuku, Juriana Jaafar dari seksa kubur dan api neraka.
“Ambillah segala kerja amalku untuk menemani Ibuku di Alam Barzakh. Dan tempatkanlah Ibuku di antara hamba hamba MU yang akan menikmati Jannahtul Firdaus A’la.
“Allahummaghfirlaha warhamha wa ‘afihi wa’fuanha. Saya sayang ibu lebih daripada segala-galanya di dunia ini,” tulisnya.
Pelakon ‘Abang Long Fadil’ itu menerima banyak ucapan takziah daripada rakan-rakan artis dan juga pengikutnya di IG yang berharap beliau tabah dengan kehilangan ibu tersayang. – Malaysiapost

