Nurul Huda Abhar
SIAPA sangka permintaan Allahyarham Mohd Irfan Mohamed Rawi, 44, mangsa kemalangan helikopter terhempas di Taman Melawati hari ini telah dipenuhi warganet.
Allahyarham membuat hantaran di ‘Facebook Group’ ‘Malaysiaku Dulu-Dulu Official’ di mana beliau meminta ahli dalam kumpulan itu mewarnakan satu gambar lama hitam putih yang tertulis tahun 1962.
Menerusi semakan Malaysiapost, hantaran tersebut dibuat 24 jam sebelum beliau meninggal dunia akibat nahas helikopter terhempas yang menggegarkan negara hari ini.
”Nak minta tolong buh (letak) kaler (warna) boleh tak? Terima kasih,” tulisnya bersama hantaran foto tersebut.
Permintaanya untuk diwarnakan gambar laman tersebut ditunaikan oleh seorang warganet bernama Mazin Lurza.
“Mazin Lurza, laju. Terima kasih,” ucapnya kepada pemilik akaun tersebut yang sudi memenuhi permintaannya.
Hantaran Allahyarham kini dibanjiri ucapan takziah dan rata-rata mereka tidak menyangka Mohd Irfan adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam nahas hari ini.
Entri tersebut menerima 100 perkongsian, 1,000 yang memberi emoji sedih dan 2,000 tanda suka.
“Alfatihah, untuk arwah. Moga ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.”
“Innalillah, ini post terakhir dari arwah. Salam takziah buat keluarga arwah.”
Terdahulu, satu kemalangan udara dilaporkan pada jam 11.50 pagi tadi, di Bukit Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB), jenis G2CA.
Dua helikopter itu yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama empat kru.
Kedua-dua helikopter dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana satu helikopter telah terhempas dan satu lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Taman Melawati.
Susulan kejadian itu, dua mangsa maut manakala dua lagi cedera. – Malaysiapost

