Warganet puji Zizan Razak tolong wanita kereta rosak tengah jalan

0
2

Nurul Huda Abhar

PELAWAK dan pelakon terkenal, Zizan Razak memuat naik satu video beliau membantu seorang wanita yang berdepan kesusahan berikutan kenderaannya dipercayai rosak dan berhenti di tengah-tengah jalan raya.

Video yang dimuat naik di Instagram (IG) memaparkan Zizan keluar dari kenderaannya dan melintas jalan untuk memberi bantuan kepada wanita itu.

Pelawak kelahiran Terengganu itu menyatakan kemungkinan kereta wanita tersebut mengalami kerosakan ‘gear box’.

Melalui video berdurasi tiga minit itu, Zizan bertanya wanita itu bolehkah jika keretanya ditolak ke tepi, namun wanita tersebut menjawab sebelum itu ada individu lain cuba berbuat sedemikian tetapi tidak berhasil.

“Bayangkan kalau itu keluarga kita. Ringankan beban hulurkan bantuan. Tapi kadang-kadang ada hari yang kita mampu tolong dan kadang-kadang ada hari yang kita tidak mampu tolong.

“Sekurang-kurangnya kita cuba tolong. Rasanya kereta akak ini gearbox problem kot,” tulisnya hari ini.

Zizan atau nama sebenar Mohammad Razizan Abdul Razak, 36, menerima banyak pujian daripada warganet kerana sudi membantu wanita tersebut yang dalam kesulitan.

“Tahniah Zizang kerana sudi menghulurkan bantuan. Tahniah juga kepada brader komen, tokey bengkel seksyen 16 Shah Alam. Sama-sama kita bantu orang dalam kesusahan,” kata Itsamershidi.

“Bagus Mael Lambung. Moga dipermudah urusan di hari Jumaat yang mulia ni,” tulis Tawfik Ibrahim. – Malaysiapost