Tumpahan minyak sawit, LRA Sungai Labu, Salak Tinggi mungkin henti operasi

0
2

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi kemungkinan akan dihentikan operasi susulan insiden kemalangan lori yang menyebabkan tumpahan minyak sawit berhampiran sungai terbabit.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori muatan minyak sawit di 276.1 Kilometer (KM) arah utara pada jam 7.40 pagi tadi.

“PLUS memaklumkan muatan minyak sawit telah mengalir dan memasuki longkang di lebuh raya itu.

“Insiden tersebut berkemungkinan menyebabkan henti tugas LRA Sungai Labu dan LRA Salak Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LUAS berkata, maklumat awal menunjukkan bahan cemar akan memasuki Sungai Jerangkang seterusnya ke Sungai Batang Labu.

“Jarak dari punca pencemaran ke LRA Sungai Labu dalam anggaran 10.7 KM dan LRA Salak Tinggi 15.68 KM,” katanya.

Sehubungan itu, Luas dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera. -Malaysiapost