BEBERAPA Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu semua Ahli Parlimen dibenarkan masuk ke dalam Dewan Rakyat bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2021.
Ia dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan lebih ramai wakil rakyat masuk ke dalam Dewan.
Ia disokong oleh beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, antaranya Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN – Pasir Salak), Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) selain Lim Guan Eng (DAP-Bagan).
Azhar kemudian memaklumkan perkara itu telah dipersetujui semalam menerusi mesyuarat dengan semua ketua whip daripada kerajaan dan pembangkang.
Katanya, ia penting bagi memastikan penjarakan fizikal dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan pula menyatakan keputudan mengehadkan kehadiran Ahli Parlimen di dalam Dewan telah diputuskan semalam.
Katanya, ia berdasarkan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat yang mana ahli-ahlinya bersetuju dengan beberapa kaedah diputuskan sepanjang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 ini.
Susulan itu, Azhar kemudian membuat keputusan menangguhkan sementara persidangan sebelum membenarkan semua Ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan bagi mengikuti pembentangan Belanjawan.
Semalam, Azhar dilaporkan berkata kehadiran Ahli Parlimen sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat kali ini, termasuk pembentangan Belanjawan 2021, dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat.
Ini termasuk Ahli Parlimen yang akan berbahas dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas.
Penetapan baharu itu dibuat berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta menepati syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – Malaysiapost

