Belanjawan 2021: Kerajaan perlu sambung projek Lebuhraya Pan Borneo

0
2

KERAJAAN Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PM) perlu menyediakan peruntukan bagi menyambung semula projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah menerusi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Penganalisis Politik dan Kerajaan/Pembinaan Negara, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri berkata projek tersebut sangat penting untuk meningkatkan jaringan perhubungan di Sabah, terutama selepas ia tergendala apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada 2018.

Beliau berkata, walaupun tumpuan bajet kali ini pasti diberikan kepada usaha menangani kesan pandemik Covid-19 terhadap rakyat, isu pembangunan dan infrastruktur asas tetap perlu diberikan perhatian.

“Keutamaan kerajaan dalam belanjawan ini adalah memastikan dana mencukupi, bukan setakat menguruskan isu Covid-19, tetapi perlu diberi juga kepada sektor lain.

“Contohnya pembangunan di Sabah, jalan raya di sana kalau nak banding dengan Semenanjung seperti tahun 1970-an,” katanya dalam program Sudut Pandang bertajuk ‘Belanjawan 2021, Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang bersatu? disiarkan Malaysiapost, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan PN perlu mengambil kira kemenangan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah tanda rakyat negeri itu meletakkan keyakinan tinggi kepada kerajaan Persekutuan sekarang.

“Mereka mahu lihat kesungguhan kerajaan untuk beri dana pembangunan yang lebih. Lebuhraya Pan Borneo itu baik tetapi tergendala masa kerajaan PH dan perlu disambung semula,” katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2016, sepatutnya dilaksanakan dalam tiga fasa membabitkan laluan sepanjang 1,236 kilometer (km).

Projek tersebut membabitkan anggaran kos bagi Fasa 1 yang mempunyai 35 pakej iaitu RM12,864 bilion meliputi 706 kilometer, manakala Fasa 2 dan 3 membabitkan laluan sepanjang 413 km lagi. – Malaysiapost