18 premis diputuskan bekalan elektrik

0
3

SEBANYAK 18 premis di Bintulu, Sarawak diputuskan bekalan elektrik semalam oleh pasukan polis dan Sarawak Energy Berhad (SEB) kerana menjalankan kegiatan judi tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata meskipun sudah diberikan amaran berkali-kali namun pemilik premis masih berdegil.

“Justeru, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan bantuan SEB memotong elektrik di premis itu bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari semalam,” katanya.

Beliau berkata, kesemua premis yang kebanyakannya terdiri daripada kedai runcit di sekitar kawasan bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong diputuskan perkhidmatan elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Di bawah seksyen berkenaan, pihak polis boleh melakukan pemotongan elektrik dengan alasan munasabah mempercayai premis sasaran ada menjalankan aktiviti perjudian.

“Pasukan PDRM dan SEB akan terus menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kegiatan judi tanpa lesen di bahagian ini dari masa ke masa,” katanya.

Zulkipli berkata, pemotongan bekalan elektrik itu antara langkah terbaik bagi menangani kegiatan judi haram khususnya kegiatan judi dalam talian.

“Antara kesalahan lain yang turut dikesan ketika pemeriksaan lanjut ialah beberapa premis niaga juga gagal mengemukakan lesen perniagaan runcit, ia satu kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pemilik premis niaga di kawasan terbabit agar tidak menyalahgunakan premis perniagaan bagi menjalankan kegiatan judi.

“Pelaku akan dikenakan tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya. -Malaysiapost