Nurul Huda Abhar
SURUHANJAYA Pilihanraya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi (voter’s card) kepada 32,962 orang pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ianyameliputi 31,152 orang pengundi biasa dan 1,810 orang pengundi awal dalam usaha menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi di kawasan Parlimen terbabit.
Katanya, kad pengundi ini mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
“Ini bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 1 Disember 2020 (Selasa) dan hari mengundi biasa pada 5 Disember 2020 (Sabtu).
“Pada voter’s card kali ini, SPR juga meletakkan maklumat “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN” bagi setiap pengundi. SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN”.
“Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ikmalrudin berkata, ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai 5 November 2020 dan pengundi yang telah menerima kad tersebut tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.
“SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa voter’s card atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundian berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.
“Semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018,” katanya. – Malaysiapost

