Kenapa tak laksanakan persidangan Parlimen secara virtual, digital? – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak boleh menerima apa-apa alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan persidangan Parlimen secara virtual atau digital.

Katanya, situasi wabak Covid-19 sudah bermula sejak awal tahun ini di negara kita dan ia bukan perkara atau situasi baharu yang kerajaan perlu selesaikan.

Malah, katanya, sejak pentadbir kerajaan waktu Pakatan Harapan (PH), wabak itu ditangani sehinggalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

“Jadi, sepatutnya sudah ada rancangan apabila ada persidangan Dewan Rakyat, negara kita boleh laksanakan persidangan secara virtual.

“Saya masih ingat bagaimana persidangan Dewan Rakyat pada sesi 18 Mei 2020 hanya dibuat sehari sahaja sebelum ditangguhkan ke Julai. Alasan diberi juga sama, risau penularan Covid-19 di Dewan Rakyat.

“Daripada sesi hingga hari ini, kerajaan ada tujuh bulan untuk bersiap sedia dan laksanakan persidangan penuh secara virtual,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata kerajaan tidak perlu memberi alasan tidak bersedia, tiada masa yang cukup atau tiada peruntukan tambahan.

“Ini Dewan Rakyat. Tempat membuat keputusan besar negara. Belanjawan 2021 pun akan dibentangkan esok.

“Orang muda pun dah buat inisiatif Parlimen Digital dan berjaya buat persidangan seramai 222 orang wakil di setiap kawasan. Rakan saya Lim Wei Jiet pun jadi Speaker Dewan Parlimen Digital dalam persidangan tersebut,” katanya.

Beliau seterusnya bertanya mengapa kerajaan tidak berbuat begitu, sama ada tiada masa atau tiada kepakaran.

“Tidak ada masakah? Dah hampir satu tahun wabak melanda. Sepatutnya, masalah ini sudah dijangka awal.

“Tidak ada kepakarankah? Saya boleh minta wakil teknikal Parlimen Digital untuk turun dan bantu. Mereka mesti ada kelapangan untuk bantu,” katanya.

Beliau menegaskan, semua 222 Ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk terlibat dalam setiap sesi, bertanya soalan dan membuat undian, namun kali ini tugas itu terhalang.

“Janganlah diberi banyak dalih untuk tidak membuat sesi Parlimen secara virtual. Tak mahu seribu dalih, kita mahu sejuta daya dan usaha,” katanya.

Terdahulu, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata kehadiran Ahli Parlimen sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat kali ini, termasuk pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa.

Ini termasuk Ahli Parlimen yang akan berbahas dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas.

Penetapan baharu itu dibuat berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta menepati syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – Malaysiapost