Nurul Huda Abhar
PENGANUT Hindu dibenarkan untuk melaksanakan upacara sembahyang bagi sambutan perayaan Deepavali mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, upacara sembahyang itu dibenarkan hanya pada hari pertama dan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Bagaimanapun, merentas daerah dan negeri dari kawasan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau dari luar untuk memasuki dua kawasan ini tidak dibenarkan.
“Tidak dibenarkan balik kampung. Sama seperti waktu menyambut Hari Raya puasa semasa PKPB lalu,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurut beliau, SOP bagi kawasan PKPP dan PKPB di rumah ibadat atau kuil perlulah menyediakan kaunter untuk pemeriksaan suhu badan dan saringan gejala berkaitan Covid-19 seperti batuk, sakit tekak dan sesak nafas.
Katanya, kehadiran mesti menggunakan aplikasi My Sejahtera atau direkodkan kehadiran serta menganut warga emas dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir.
“Upacara sembahyang hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP pembukaan rumah ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang dalam satu masa.
“Jika kuil yang kecil, tidak muat untuk jumlah 30 orang jadi kena kurangkan lagi mengikut keluasan lantai. Bagaimanapun, seluas mana pun kuil itu maksimum hanya 30 orang satu masa,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan upacara sembahyang perlu bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari dengan pembahagian masa sebanyak lima sesi.
Katanya, setiap sesi tersebut perlu dilakukan sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi yang baharu.
Selain itu, katanya, pengedaran manisan dibenarkan tetapi secara berbungkus kepada penganut setelah selesai upacara sembahyang.
“Sambutan di kediaman dibenarkan dalam ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang dalam satu masa
“Kalau PKPD hanya ahli-ahli di dalam rumah itu sahaja dan pengunjung dari luar langsung tidak dibenarkan,” ujarnya. – Malaysiapost

